New Bob bakal buka 3 Tido Hostel
KUALA LUMPUR – New Bob Group (New Bob), syarikat pemaju hartanah dari Pulau Pinang menyasarkan untuk membuka tiga lagi tempat penginapan flashpacker, Tido Hostel di sekitar Kedah, Ipoh; Perak dan Lembah Klang menjelang tahun 2017.
Pengarahnya, Dr. Lee Ville berkata, dengan peruntukan pelaburan sekitar RM2 juta hingga RM5 juta bagi membuka sebuah cawangan, langkah itu merupakan sebahagian strategi syarikat untuk memperluaskan perniagaan hospitalitynya ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia selain Pulau Pinang.
“Pada masa ini, kami sedang berada dalam proses membeli hartanah yang bersesuaian dengan konsep Tido Hostel iaitu bergaya dan selesa, namun pada harga bajet.
“Minat kami adalah lebih cenderung ke arah bangunan kedai lama yang mudah dibaik pulih dan dinaik taraf bagi menghasilkan sebuah pusat penginapan yang kelihatan segar dan menarik, ” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Terletak di Argyll Road, Georgetown, Pulau Pinang, Tido Hostel menawarkan kemudahan penginapan untuk pelancong flashpacker iaitu individu yang mengembara dalam perbelanjaan terhad namun masih mengutamakan keselesaan dan gaya.
Mula beroperasi pada April tahun ini, Tido Hostel menyediakan sejumlah 16 bilik, di mana lapan daripadanya terdiri daripada bilik berkonsep asrama yang dilengkapi dengan lapan buah katil di setiap bilik.
Manakala lapan bilik lagi terdiri daripada unit berkembar.
“Kami optimis sektor pelancongan negara akan terus mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan, dipacu oleh pelbagai faktor termasuk peningkatan perbelanjaan domestik berikutan kelemahan ringgit dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Dengan potensi ini, syarikat mengunjurkan segmen hospitaliti untuk menyumbang antara 20 hingga 30 peratus kepada perolehan keseluruhan kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ini selepas Tido Hostel diperluaskan ke negeri-negeri lain,” ujurnya.
Tambah Ville, pada masa ini, Tido Hostel hanya menyumbang sebanyak dua peratus kepada perolehan keseluruhan kumpulan.
Pembukaan sebuah lagi perniagaan hospitaliti New Bob iaitu Tropics 8 pada penghujung tahun ini diunjur akan meningkatkan kadar tersebut kepada lapan peratus.
“Suit komersial Tropics 8 yang terletak di Jalan Gottlieb bakal menyediakan kemudahan hospitaliti kepada pelancong perubatan bagi melengkapkan perkhidmatan yang diambil mereka di mana-mana hospital terdekat,” jelasnya.