Bina Tiga Hartanah di Pulau Pinang

Kosmo, Bina Tiga Hartanah di Pulau Pinang, Niaga Section, 19th October 2015 (Isnin)

Merangkumi dua projek kediaman mewah, satu komersial dengan GDV RM147 juta

KUALA LUMPUR – Kumpulan New Bob (New Bob) menganggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM147 juta bagi membangunkan tiga projek hartanah di Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarahnya, Dr. Lee Ville berkata, projek-projek tersebut merangkumi dua pembangunan kediaman banglo, Cluster Villa di Georgetown dan di Jalan Biggs serta suite komersial, Menara NB di Butterworth.

“Bagi Cluster Villa, ia merupakan projek 17 unit kediaman banglo yang bakal dibangunkan dengan GDV bernilai RM60 juta, selain sebuah lagi projek enam unit banglo di Jalan Biggs dengan GDV mencecah RM42 juta.

“Selain itu, Menara NB pula merupakan sebuah projek menaik taraf sebuah menara pejabat lama kepada ruang komersial serba moden dengan melibatkan GDV bernilai RM45 juta,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, ketiga-tiga projek berkenaan memenuhi standard pembangunan hijau.

Sementara itu, mengenai projek suite komersial yang sedang dibangunkan New Bob iaitu Tropics 8, beliau berkata, hanya 25 peratus daripada 88 unit komersial yang ada akan dijual.

Ujar beliau, selebihnya akan digunakan khusus untuk mempelbagaikan portfolio pengurusan aset syarikat hartanah itu.

“Ia bakal digunakan untuk kemajuan hospitality seperti kemudahan penginapan untuk pelancong perubatan.

“Menerusi cara ini, kami bukan sahaja memiliki bangunan tersebut, malahan menguruskan dan mendapat pulangan daripada unit-unit yang disewakan,” jelasnya.

Tropics 8 terletak di lokasi strategik iaitu hab perniagaan pusat bandar Pulau Pinang iaitu di Jalan Gottlieb, Georgetown.

Ia berada berhampiran dengan Hospital Penang Adventist, Plaza Gurney,  Gurney Paragon Mall serta Gurney Drive.

Dibangunkan dengan GDV bernilai 70 juta, pembangunan Tropics 8 bermula pada penghujung tahun 2013 serta dijangka siap pada April 2016.

 

 

 

Kosmo Article - 19th Oct (Tropics 8)