Kondo River Tropics lebih luas, mampu milik

Harian Metro, Business, February 21st 2015

Kondo River Tropics lebih luas, mampu milik

New Bob Group (nbtropics.com), pemaju hartanah terkemuka di utara tanah air terus mempelbagaikan projek hartanahnya apabila melancarkan pembangunan kediaman terbarunya, River Tropics di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Pengarahnya, Dr. Lee Ville berkata, syarikat memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM80 juta bagi projek itu yang dijangka memulakan pembinaan pada Mac 2015.

Katanya, pembangunan jenis kondominium itu dibangunkan di atas tanah seluas 0.97 hektar dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk komuniti setempat.

“Kondominium River Tropics ini dibina untuk memberi pilihan kepada masyarakat terutama di Pulau Pinang untuk memiliki kediaman lebih luas pada harga mampu milik.

“Selain itu, lokasinya sangat strategik kerana berdekatan dengan lebuhraya utara-selatan Pulau Pinang, Tesco Extra, hospital, sekolah dan pelbagai lagi,”katanya kepada Bisnes Metro yang ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, 148 unit River Tropics ditawarkan yang mana lapan adalah jenis duplex dan mempunyai taman khas untuk berjoging dan berbasikal.

Lee berkata, pihaknya juga menyediakan halaman bumbung (roof top) seluas 6,000 kaki persegi untuk tempat beriadah penghuni dan juga ruang khas untuk bercucuk tanam.

Beliau berkata, setiap unit kondominium terbabit bersaiz 1,350 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air.

“Harganya jualan bermula RM430,000 dan kami telah membuka pendaftaran untuk mereka yang berminat. Kami yakin, harga ini mampu dimiliki dan sangat berbaloi dengan unit yang ditawarkan.

“Kami sasarkan semua unit akan terjual menjelang akhir tahun ini dan bagi 50 pembeli pertama juga akan menikmati diskaun sehingga 8.0 peratus,” katanya.

Lee berkata, projek River Tropics ini dijangka siap sepenuhnya pada 2018 dan ia adalah pembangunan hijau pertama di Seberang Jaya.

Harian Metro 21st February 2015 (2)