Komitmen New Bob Group

Kosmo, Komitmen New Bob Group, Niaga, September 28th 2015 (Monday)

Beri tumpuan kepada projek pembangunan mampu milik di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – New Bob Group komited untuk terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran hartanah Pulau Pinang dengan memberi fokus kepada pembangunan projek-projek perumahan mampu milik.

Pengarahnya, Dr. Lee Ville berkata, strategi itu adalah untuk memenuhi permintaan pasaran hartanah di negeri tersebut yang kini mengalami situasi kekurangan bekalan khususnya bagi segmen perumahan mampu milik.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan syarikat pemaju hartanah lebih banyak membangunkan projek-projek yang bertaraf mewah dan menyebabkan wujudnya permintaan tinggi bagi perumahan mampu milik.

“Atas faktor itu, kami kini melaksanakan strategi baharu iaitu memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi di sekitar tanah besar dengan harga lebih mampu milik berbanding di bahagian pulau yang mempunyai nilai hartanah yang melambung,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Selain itu, menurut Ville, antara projek perumahan mampu milik yang kini dibangunkan ialah River Tropics, sebuah pembangunan kondominium di Butterworth dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM75 juta.

“River Tropics juga merupakan sebuah projek kediaman hijau pertama di tanah besar yang menawarkan kediaman lebih luas pada harga mampu milik,” ujarnya.

Didirikan dalam 18 tingkat dengan sejumlah 140 unit standard dan lapan unit dupleks, River Tropics terletak di kawasan strategik iaitu berhadapan dengan Lebuhrata Utara Selatan, bersebelahan Tesco Extra serta berhampiran Jambatan Pulau Pinang.

Ia dijual pada harga bermula dari RM400,000.

Mula ditubuhkan pada tahun 1959 sebagai sebuah agensi kecil-kecilan, New Bob kini merupakan salah sebuah peneraju syarikat hartanah di Pulau Pinang dan wilayah utara dengan menjalankan pelbagai portfolio perniagaan termasuk pembangunan hartanah, pengurusan hartanah serta kemudahan sewa kereta untuk pelancong.

Untuk tahun ini sahaja, New Bob telah membangunkan pelbagai projek hartanah dengan melibatkan GDV keseluruhan bernilai kira-kira RM224 juta.

Ia termasuklah projek lot kilang; The Gates, projek banglo tiga tingkat; The Manor, suite komersial; Tropics 8 dan River Tropics di sekitar Pulau Pinang.

Kosmo 28 Sep 2015 - River Tropics